We have 4 guests and no members online

Pada 29 Oktober  2018, sudah terukir lagi sejarah di Istiadat Konvokesyen UniMAP ke-13, salah seorang pelajar Pusat Pembangunan Insan Teknokomunikasi (ikom) , Aida Zulaikha Bt Akmar Harfidzi berjaya mengorak langkah kepentas Anugerah pingat emas Naib Canselor baru-baru ini.

Gadis itu merupakan anak sulung kepada 4 orang adik-beradik. Beliau dilahirkan pada tahun 1996 oleh pasangan berbahagia Akmar Harfidzi bin Hasan bersama isteri tercinta Rohana bt Mohamed yang merupakan Guru Pendidikan Khas di Sk Seri Sekinchan. Namun, pada tahun 2004 bapa beliau meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak.

"Bagi saya, kehilangan seorang yang sangat rapat dengan saya, seorang yang bergelar 'Ayah' ketika usia 8 tahun adalah satu cabaran yang paling besar. Kita lihat orang lain berpelukan ketika mengecapi kejayaan dalam UPSR,PMR ,SPM dan Matrikulasi tapi saya hanya ada ibu saya dan adik-adik , atok dan nenek saya. Jadi saya anggap kehilangan abah sebagai satu cabaran yang perlu saya genggam kuat-kuat. Cabaran yang membuktikan pada orang lain bahawa walaupun keluarga saya tak lengkap, tapi saya juga boleh berjaya." itu lah yang diluahkan oleh seorang gadis kental hatinya.

Beliau dapat mengecapi kejayaan sekarang kerana berpegang dengan kata-kata ajab "Takde siapa boleh bantu kamu selain diri kamu sendiri". Kata-kata ajaib tersebut memberikan bukti yang kukuh terhadap pencapaian beliau sebagai seorang yang aktif menyertai pelbagai program dan persatuan sepanjang 3 tahun pengajian di UniMap. Beliau pernah mendapat Anugerah Versatil dalam Anugerah Gemilang Siswa UniMap 2017, Anugerah Kepimpinan dalam Anugerah Gemilang Siswa iKOM dan mendapat Anugerah Dekan Hampir setiap semester. Beliau juga merupakan mantan Setiausaha Agong Majlis Perwakilan Pelajar 2016/2017, mantan Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, mantan Setiausaha 2 Festkon11, mantan Ahli Kelab Teater UniMap dan Exco Protokol iKOM.

"UniMAP merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang holistik. Bukan sahaja menitik beratkan prestasi akademik pelajar, malah turut menitikberatkan sahsiah diri pelajar melaku penganjuran program-program seperti Kem Ganas, Seminar Graduan Holistik dan progam 7 Pillars. Pengalaman yang saya tak dapat lupakan adalah ketika saya berpeluang menyertai Jelajah Ilmu UniMAP ke Azerbajian dan Kazakhstan. Sukar untuk lihat kemesraan dan keprihatinan sebegini dalam kalangan warga Malaysia."

Beliau semestinya bangga dengan keputusan dicapai malah kebanggaan tersebut dirasai oleh ibunya sendiri yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah diselitkan juga ucapan syukur dan terima kasih buat tenaga pengajar dan pihak universiti kerana telah berjaya mendidik dan membentuk sahsiah anaknya hingga berpeluang mendapati pingat. Ibu beliau turut berharap agar anaknya dapat menjadi contoh yang baik untuk adik-adik.

Kini, sudah tentu kejayaan bukan titik terakhir bagi Aida malah gadis itu akan terus menggapai impiannya iaitu membuka sebuah firma yang menawarkan servis konsultasi setanding seperti Dato Dr Fadzilah Kamsah.Oleh itu, bagi Aida untuk mencapai impiannya itu, sekarang menurut beliau sedang menunggu panggilan daripada Inter-Excel Advisory (Aviation Support Company), Bank Muamalat dan TV3. Minat beliau dalam Consultancy, Corporate dan Communication and Media menjadikan beliau terus- menerus mencapai impiannya malah beliau juga ada merancang dalam masa setahun untuk  menyambung ke peringkat ijazah dan seterusnya PhD.

 

Tidak lupa juga sebagai pengakhiran temubual kami bersama tokoh cemerlang ini untuk memberikan sedikit pesanan dan tips untuk pelajar-pelajar iKOM yang lain.

 

"Aktifkan diri dalam program di dalam dan di luar universiti kerana boleh menggilap soft skills secara tak langsung. Jaga hubungan baik sesama makhluk. Dengan ibu bapa, pensyarah, staf universiti, kawan-kawan, even dengan kucing pun kena jaga. Tidur awal, bangun awal. Elakkan habit tidur lambat. If banyak assignment or kena buat assignment last minute pun, tidur kena cukup. Selesaikan dengan cara bangun di awal pagi. Baru otak fresh.Elakkan ponteng kelas.Buat nota ringkas. Jangan takut nak libatkan diri dalam program-program di universiti. Nak jadi orang hebat, kena mula dari bawah. Saya mula daripada tidak ada siapa kenal. Datang interview untuk jadi krew festkon. Lepas daripada itu, baru org mula kenal.Jaga hubungan dengan Universiti. Jangan burukkan atau kutuk tempat kite tuntut ilmu walau teruk macam mana pun, di situ lah tempatnya juga untuk kita graduate nanti."

 

Begitulah pesanan ikhlas  Aida Zulaikha kepada semua pelajar di iKOM yang masih lagi bertungkus-lumus dalam mencapai kejayaan mereka masing-masing.

 

- IZZATI ISA-

Go to top