We have 16 guests and no members online

 

 

 

 

 

 

Pada 16 Mac lalu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menganjurkan Anugerah Gemilang Siswa 2017 (AGS2017). AGS dianjurkan untuk meraikan pelajar yang telah memberi sumbangan kepada universiti sepanjang tahun lalu. Majlis yang diadakan di Dewan Kecemerlangan itu dirasmikan oleh Naib Canselor UniMAP, Dato’ Professor Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Seramai 128 pelajar diraikan pada majlis tersebut termasuk enam pelajar iKOM yang menerima  anugerah melibatkan beberapa kategori.  Penerima anugerah tersebut adalah Siti Aisyah Zaidi (Anugerah Khas Kebudayaan Pelajar Tempatan–Individu), Nikita Kaur A/P Gurumit Singh (Anugerah Akademik Cemerlang–Program Pengajian Ijazah), Aida Filzah Ramli (Anugerah Akademik Cemerlang–Program Pengajian Ijazah), Hanisya Muhammad Husni (Anugerah Akademik Cemerlang–Program Pengajian Ijazah), Aida Zulaikha Akmar Harfidzi (Anugerah Versatil) dan Nurhafiz Abd Razak (Anugerah Kesukarelawan–Budi Gemilang).

Menurut Dato’ Professor Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, AGS dianjurkan sebagai inisiatif UniMAP bagi menghargai usaha keras dan sokongan padu pelajar-pelajarnya yang turut sama mendukung misi dan visi universiti.

“Saya difahamkan pada AGS2017 ini terdapat 128 penerima daripada 33 kategori dan ini merupakan satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan besar para pelajar yang bukan sahaja dalam akademik malah aktif dalam kegiatan kesukarelawanan. Hal ini menunjukkan bahawa pihak universiti tidak pernah memandang enteng terhadap sumbangan para pelajar yang telah mengharumkan nama UniMAP”, ujar beliau lagi dalam ucapan perasmian AGS2017.

Hadir sama pada majlis itu adalah Prof Madya Dr Mohd Fo’ad Sakdan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan Dekan HEPA UniMAP, Prof Madya Razli Ahmad.

Go to top